Malaysia adalah sebuah negara yang melambangkan keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta kaya dengan budayanya yang pelbagai.  Ciri-ciri ini menjadi asas kepada pandangan positif rakyat antarabangsa terhadap negara ini. Perpaduan yang kuat dan kukuh antara rakyat yang berbilang kaum dan bangsa dapat menjana kejayaan dan kecemerlangan bagi kesejahteraan serta kemakmuran negara. Oleh sebab itu, perpaduan dan keharmonian merupakan elemen yang sangat penting dalam mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 

emaze.com

 

Pakaian acap kaliharus dipadankan berdasarkan masa dan situasi. Contohnya, ramai yang berpakaian kasual terutamanya baju-T serta jeans untuk bersantai, keluar membeli-belah atau kegiatan harian, dan berpakaian kemas jika bekerja di pejabat manakala pakaian tradisional pula dipakai ketika menghadiri pelbagai majlis. Pemakaian pakaian tradisional telah semakin popular di negara ini, disamping memakai pakaian tradisional masing-masing terutama ketika menghadiri kenduri, majlis-majlis rasmi atau kematian, pakaian traditional juga dipakai ramai ke pejabat dan apabila menziarahi rumah saudara-mara dan kenalan. Menjadi kebiasaan bagi semua masyarakat di negara ini untuk membeli sekurang-kurangnya sepasang pakaian tradisional yang baharu bagaikan satu kemestian ketika menyambut perayaan-perayaan utama seperti seperti Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

 

sbxs.com.my

iroamingholiday.wordpress.com

 en.yenni.mobi

 

Setiap kaum memiliki tradisi pemakaiannya yang unik dan tersendiri. Sebagai contoh kaum melayu popular dengan pakaian melayu seperti baju kurung,  kebaya bagi kaum perempuan manakala Baju Melayu Johor dan Cekak Musang bagi yang lelaki.  Tidak dilupakan juga kepada pakaian tradisional lain yang dimodenkan seperti kurta, jubah dan sebagainya.   Seterusnya, bagi kaum India pula, mereka popular dengan pemakaian sari dan Punjabi suit manakala bagi pakaian tradisi kaum Cina adalah seperti Cheongsam.   Tidak dilupakan juga bagi kaum kaum yang lain di Malaysia yang kesemuanya cukup terkenal dengan pakaian tradisi yang pelbagai menarik dari segi rupa dan warnanya.

 

Telah menjadi kebiasaan bagi setiap masyarakat memakai pakaian kaum lain walaupun berlainan bangsa. Ini adalah sebuah contoh yang sangat baik bagi negara Malaysia kerana paparan sikap bersepadu dapat ditonjolkan dari budaya ini.  Sebagai contoh, pada masa majlis dan perayaan yang tertentu kaum India memakai Cheongsam,  kaum Cina memakai baju kurung.   Mereka saling bertukar tukar tradisi budaya antara satu sama lain yang mana menunjukkan kesepaduan antara satu sama lain. Kita sudah pasti akan teruja apabila melihat rakan yang berbangsa India memakai Baju Melayu atau Baju Kurung yang bukan sahaja pakaian tradisional Melayu malah pakaian kebangsaan negara ini kerana ia memperlihatkan penerimaan kaum lain terhadap budaya Melayu.

 

skrajamuda2015.blogspot.my

 

Apa yang uniknya tentang baju tradisi melayu seperti baju kurung ini adalah ia dapat menunjukkan sikap kesopanan dan kesantunan pemakai dari pandangan orang lain. Baju kurung sering mendapat tempat di kalangan kaum lain di Malaysia kerana ia selesa dipakai, selain merupakan pakaian tradisional Melayu ia juga merupakan pakaian kebangsaan.  Baju kurung dapat menimbulkan ciri ayu bagi wanita-wanita tidak kira sama ada masyarakat Malaysia mahupun mereka yang berasal dari negara lain. Sebagai contoh, kita dapat melihat kaum Cina atau India memakai baju kurung pada majlis tertentu atau ke tempat kerja. Sekali pandang sahaja, sudah pasti menjadi perhatian mereka yang melihatnya. Selain itu juga, setiap pakaian tradisi ini terdiri daripada fabrik berbeza, malah ada yang dihiasi manik dan batuan yang menarik. Terdapat segelintir masyarakat yang gemar memakai pakaian tradisional kaum lain mengakui bahawa berbuat demikian sebagai tanda menghormati budaya, tradisi dan cara hidup mereka.

 

Walaupun memakai pakaian tradisional adalah bukan satu kewajipan namun ia mampu menyerlahkan identiti kepelbagaian budaya dan kaum, serta menyemarakkan semangat 1Malaysia di kalangan rakyat negara ini. Kita seharusnya berbangga dengan Malaysia yang dipandang unik oleh masyarakat dunia kerana kita boleh hidup aman damai walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya.

 

Tidak kira Melayu, Cina, India atau masyarakat pelbagai etnik Sabah dan Sarawak, masing-masing mempunyai pakaian tradisional masing-masing. Cara paling mudah untuk saling menghargai adalah dengan mengenakan pakaian kaum lain. Justeru, harapan admin agar budaya ini akan terus kekal dalam kalangan masyarakat di Malaysia kerana sikap saling bertolak-ansur dan hormat-menghormati dapat mengeratkan hubungan di antara satu kaum dengan kaum yang lain sekaligus dapat  mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Semoga negara kita akan terus berjaya, aman damai serta pakaian tradisi di negara kita akan mampu mendapat tempat dan dikenali sehingga ke persada dunia.