Assalamualaikum semua! Pada ruangan kali ini, marilah sama-sama kita berkongsi serba sedikit cara-cara mengambil ukuran baju bagi lelaki.

 

Sekiranya anda menjahit pakaian lelaki dewasa dan juga kanak-kanak lelaki , sudah tentunya anda akan mendapati bahawa sebahagian daripada teknik-teknik membuat pakaian lelaki berbeza daripada teknik membuat pakaian wanita dan kanak-kanak perempuan.

 

Bagi menghasilkan dan membuat pakaian untuk lelaki, matlamat utama ialah pakaian yang mempunyai stail individu serta elok padanya. Sebahagian lelaki memilih pakaian jenis ready-made dan tidak kurang juga memilih pakaian jenis order-made. Yang demikian, prosedur membuat pakaian lelaki merupakan campuran teknik menjahit stail kilang dan menjahit stail tailoring. Teknik pertama lebih banyak ditumpukan kepada pembikinan pakaian-pakaian mudah dan senang seperti kemeja, manakala teknik kedua lebih ditumpukan kepada membuat seluar dan juga jaket.

 

Kebanyakan daripada teknik-teknik adalah kompleks, terutama sekali dalam membuat jaket. Adalah dinasihatkan supaya terlebih dahulu anda mempelajari asas jahitan serta memperbanyakkan berlatih untuk mendapatkan kemahiran dan pengalaman menjahit sebelum membuat kerja-kerja rumit ini untuk menghasilkan pakaian yang berkualiti dan selesa.

 

Ada terdapat dua perkara penting yang perlu diberi perhatian apabila anda membuat pakaian kanak-kanak iaitu: ketahanan dan ruang untuk membesar. Anda juga hendaklah menjahit dengan cepat dan tepat.

 

Mengambil Ukuran untuk Baju Lelaki

Bagi mereka yang bercita-cita untuk menjadi jurupotong atau tukang jahit pakaian yang berjaya dan professional, mestilah mengetahui teknik mengambil ukuran. Mereka hendaklah meneliti pelbagai jenis bentuk badan lelaki, dan mengukur dengan berhemah kerana ketepatan ukuran sukar diperolehi.

 

Cara yang paling baik untuk mengambil ukuran seseorang ialah dengan meminta orang yang akan anda ukur itu memakai pakaian yang tidak terlalu tebal. Seeloknya orang itu hendaklah mengelakkan memakai tali pinggang. Gunakan pita ukur yang fleksibel. Ukur sama padan tetapi diingatkan untuk tidak terlalu ketat.

 

(Mengukur Lebar Bahu)

 

(Mengukur Labuh Lengan)

 

(Mengukur Bukaan Lengan)

 

UKURAN LABUH BAJU.

  • Ukur dari bahagian atas bahu berdekatan dengan pangkal leher,dan kemudian turun ke bawah pada aras ibu jari atau mengikut kemahuan dan permintaan pelanggan. Ukuran baju Melayu perlulah labuh sedikit daripada ukuran labuh kemeja.

 

UKURAN LEBAR BAHU

  • Ukur dari hujung bahu di sebelah kiri hingga ke hujung bahu di sebelah kanan. Untuk baju Melayu, ukuran ini hendaklah dilebihkan sedikit.

 

UKURAN LABUH LENGAN.

  • Jangan alihkan pita dari badan pelanggan tetapi letakkan ibu jari anda di atas bahu kanan hadapan dan teruskan mengukur hingga ke labuh lengan yang dikehendaki. Tolak ukuran lebar bahu untuk mendapat ukuran labuh lengan yang sebenar.
  • Untuk lengan pendek, 1 hingga 1.5 cm ke atas dari paras siku atau mengikut labuh yang dikehendaki.

 

UKURAN BUKAAN TANGAN

  • Ukur bukaan tangan bagi lengan pendek yang dikehendaki pada aras hujung lengan. Bagi lengan panjang, ambil ukuran kaf/manset mengikut keselesaan pelanggan yang memakai baju/ kemeja tersebut.

 

UKURAN KELILING LEHER.

  • Ukur keliling leher melalui halkum dan kemudian tambahkan 1.5cm. Anda boleh juga mengukur keliling pangkal leher. Pita ukur janganlah terlalu rapat dengan leher. Seelok-eloknya selit satu jari di antara pita ukur dan leher. Pastikan keadaan kolar tidak dibutangkan untuk memudahkan anda mengukur.

 

UKURAN KELILING DADA.

  • Ukur keliling dada pada bahagian yang paling besar. Selitkan dua jari anda antara badan dan pita ukur. Pita ukur hendaklah betul-betul memlalui bawah pangkal lengan dan tidak ke bawah tulang belikat.

 

UKURAN KELILING PINGGANG.

  • Ukur di bahagian keliling pinggang yang ramping sekali sambil menyelitkan dua atau tiga jari anda antara pita ukur dan pinggang pelanggan.

 

UKURAN KELILING PUNGGUNG.

  • Ukur di keliling punggung yang paling besar sekali. Jangan ukur terlalu ketat, ukuran hendaklah sedikit longgar sebanyak dua jari.

 

UKURAN LILIT.

Ukuran lilit pelanggan boleh dikategorikan kepada empat jenis iaitu :

  • Kurus, normal, corpulent(buncit) dan gemuk.
  • Orang yang kurus mempunyai ukuran keliling pinggang kurang dari normal, misalnya dada 92cm dan pinggang 76 cm.
  • Buncit berbeza daripada gemuk pada ukuran-ukuran pinggang dan juga dada. Ukuran bentuk badan orang buncit adalah normal di dada, tetapi lebih dari normal di pinggang, misalnya dada 107cm dan pinggan107 cm, 102 cm dan juga 99cm. Mana-mana lelaki yang mempunyai ukuran keliling pinggang lebih dari normal, atau ukuran pinggang sama dengan dada, dikategorikan sebagai buncit.
  • Lelaki gemuk mempunyai ukuran pinggang melebihi dada.

 

(Mengukur Labuh seluar)

(Mengukur bahagian pinggang)

(Mengukur bahagian pinggul)

 

Sumber rujukan :

  • Buku Panduan Menjahit baju Lelaki (Alaf 21.2006)
  • Compliments to Emmalyn Boutique for images.