Menjelang Hari Raya, berakhirnya puasa~~
Menjelang Hari Raya Aidifitri, pasti ramai yang akan membuat bermacam-macam persiapan. Kebiasaannya, ia akan menelan kos yang banyak. Memandangkan hari raya ni setahun sekali, maka kita boleh lihat orang ramai sanggup membeli belah secara terlampau kerana inginkan segalanya sempurna serba serbi dari atas ke bawah. Segelintir juga berprasangka seperti “Hutang pun tidak apa, asalkan kita dapat sambut Hari Raya dengan sempurna”. Salah rasanya tanggapan begini. Kita harus berjimat cermat dan tidak membazir wang demi tidak membebankan diri dan keluarga pula. Bukankah sikap berjimat dan tidak membazir adalah pengajaran yang kita semua terima semasa bulan Ramadhan? Di sini admin nak kongsikan beberapa tips yang mungkin boleh digunakan untuk jimat ye, insyaallah.
Tips berjimat menjelang Hari Raya:
Bagi anda yang telah sedar akan kepentingan untuk berjimat cermat, berikut merupakan antara tips yang kita boleh amalkan. Barulah kita dapat menyambutnya dengan riang ria tanpa sebarang pembaziran berlaku.
- Senaraikan perbelanjaan yang perlu.
Sebelum membuat senarai perbelanjaan yang diingini adalah disarankan untuk melihat baju-baju yang ada dalam almari terlebih dahulu. Sekiranya baju yang ada masih cantik dan elok serta baru sahaja dipakai dalam beberpa kali,adalah lebih baik untuk tidak membeli terlalu banyak baju baru lagi. Walau bagaimanapun,bagi kanak-kanak, selalunya baju mereka tidak berapa muat kerana mereka ini cepat membesar. Disarankan untuk mengutamakan yang perlu sahaja.
2. Gunakan kaedah sampul
Kaedah sampul yang dimaksudkan disini ialah, meletakkan bajet untuk setiap item dikehendaki pada setiap satu sampul. Sebagai contoh :
- Baju Raya = RM150
- Kasut = RM50
- Beg = RM 50
3. Pilih kedai yang menawarkan harga yang berpatutan.
Sekiranya ingin pergi ke sesebuah kedai atau lokasi jualan, anda hendaklah menetapkan lokasi lebih awal dan tidak redah ke mana-mana lokasi tanpa perancangan. terdapat kedai yang menawarkan harga lebih rendah untuk ahli yang mendaftar dan ada juga yang menawarkan voucher begitu juga diskaun yang tinggi sempena menyambut Hari Raya.
4. Tinggalkanlah kad ATM & kad kredit
Dapat mengelakkan berlakunya masalah hutang raya yang banyak. Menjadi kebiasaan apabila melihat jualan dengan harga yang tidak masuk akal, kita akan automatik tertarik untuk mendapatkan produk tersebut. Jadi adalah lebih baik sekiranya meninggalkan kad debit atau kredit kad.
5. Tidak perlu beri duit raya.
Duit raya itu sedekah. Sedekah itu sunat. Bayar hutang itu wajib.
Dahulukan membayar hutang yang membuatkan kita semakin miskin berbanding memberi duit raya kepada orang bukan miskin ataupun fakir. Contohnya, bagi anda yang masih berhutang kad kredit peruntukkan duit raya untuk ibu bapa dan ibu bapa mertua sahaja.
Pesan juga dekat anak-anak supaya tidak merengek jika tak dapat duit raya. Nanti orang mesti kata “biarlah budak-budak, dulu kita pun macam tu juga”
Gunakan kesempatan yang ada ini untuk berani melakukan perubahan.
6. Guna semula langsir.
Langsir memainkan peranan yang sangat penting kepada sesebuah rumah apabila tibanya hari raya. Sebelum masuk bulan Ramadhan lagi kedai-kedai kain terkemuka seperti Jakel dan Gulatis pastinya sesak dengan orang ramai terutama sekali golongan wanita yang rambang mata membeli kain langsir.
Daripada beli kain langsir yang baru, apa kata kita guna sahaja langsir sekarang. Sekiranya inginkan kelainan berbanding tahun sebelumnya, anda boleh jadi kreatif dengan ubah suai atau pun menambah manik-manik pada langsir.
Dengan adanya manik-mainik dan tambahan renda dapat menjadikan langsir anda kelihatan baru. Gunakanlah kreativiti anda sebaiknya. Di samping dapat berjimat.
7. DIY hiasan di rumah
Anda boleh menggunakan kreativiti anda untuk hias rumah dengan barang-barang yang memang sedia ada. Tidak perlu membeli perabot baru pada setiap tahun untuk menyambut Hari Raya tetapi boleh kenakan sentuhan hiasan dengan mengecat, ubah susunan perabot, menukar hiasan bunga atau meja dan sebagainya. Selain itu, anda juga boleh menggunakan idea-idea hiasan rumah yang ada di internet untuk menjimatkan lagi kos pengubahsuaian. Mudah dan jimat kan?
8. Pakaian sedondon
Sekiranya inginkan satu keluarga pakai baju melayu dan bau kurung sedondon, adalah lebih baik untuk menempah baju awal-awal kalau boleh sebelum bulan puasa lagi.
Anda boleh gunakan untuk dapatkan sebutharga dari tailor pilihan anda. MyBaju menyenaraikan ramai tailor-tailor berkebolehan dan harga juga mungkin boleh runding. Tailor mungkin boleh beri potongan harga kerana tempahan keluarga. Jika kita kira-kira kembali kos beli baju dah siap (selalunya saiz baju susah cari juga) berbanding kos tempahan baju, anda mungkin dapat jimat dan lebih puas hati dengan menempah.
9. Kuih raya home made
Bagi mereka yang tidak bekerja atau mempunyai masa yang terluang, bolehlah cuba membuat kuih raya sendiri. Cara ini dapat mengelakkan dari berlakunya pembaziran membeli “kuih tunjuk-tunjuk” yang belum tentu lagi rasanya sedap, masuk angin, kurang tepung dan sebagainya. Pada kebiasaannya, kebanyakan kuih dijual pada lingkungan harga RM25 dengan kuantiti lebih kurang 50 biji untuk sebalang. Sekiranya membuat kuih raya sendiri, kosnya adalah lebih rendah, kualiti terjamin, dan rasanya boleh dicuba terlebih dahulu.
Sekian sahajalah coretan saya buat kali ini. Insyaallah kita bersua kembali.
Selamat Hari Raya Idul Fitri, mohon maaf zahir dan batin.
Comments are closed.