Link
Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun dengan mesin tradisional dan mempunyai corak rumit menggunakan benang emas atau perak. Perkataan songket pula berasal daripada perkataan Melayu iaitu menyungkit menggunakan benang berwarna emas. Nyungkit atau menyungkit bererti menghasilkan ragam hias pada sehelai kain dengan melalukan benang loseng (warp) yang telah diikat di celah-celah lidi dan kemudiannya mengeluarkan lidi-lidi itu daripada benang.
Menurut sejarah, songket hanya dipakai oleh golongan bangsawan seperti keluarga kerabat diraja dan orang besar negeri. Kehalusan tenunan dan kerumitan motif corak songket ketika itu menggambarkan pangkat dan kedudukan tinggi seseorang pembesar. Ia telah terkenal di Malaysia dan Indonesia sejak abad ke-13 lagi. Namun begitu, tidak banyak diketahui mengenai asal-usul songket tetapi kemungkinannya penenunan songket berkembang di Malaysia melalui perkahwinan antara keluarga diraja yang merupakan strategi penyatuan biasa sekitar abad ke-15.
Sehelai kain songket yang panjangnya 20 meter hingga 40 meter mengambil masa kira-kira enam minggu untuk disiapkan. Kemahiran dan kreativiti yang tinggi amat diperlukan oleh seorang penenun songket. Yang menariknya, seorang penenun songket yang mahir tidak perlu melakar corak songket di atas kertas terlebih dahulu sebelum kerja-kerja menenun dilakukan, sebaliknya idea hasil corak yang ditenun adalah idea daya kreativiti dan imaginasi yang tinggi lagi unik. Hiasan kepala kain yang ditenun biasanya mengikut citarasa penenun itu sendiri. Motif corak yang biasa digunakan kebiasaannya mengambil daripada persekitaran sekeliling contohnya motif tumbuh-tumbuhan, haiwan, alam sekitar ataupun kuih. Motif corak yang biasa digunakan dikenali dengan nama seperti tapak manggis, pucuk rebung, lawi ayam dan sebagainya. Corak songket pula lazimnya corak susunan bunga penuh, bunga tabur dan susunan bercorak. Corak dan motifnya memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu dan sekali gus mencerminkan cita rasa budaya bangsa yang mekar dalam persekitaran yang kaya dengan keindahan dan keunikan.
Proses membuat songket dilakukan secara berperingkat dimana ia melalui proses yang rumit dan memerlukan ketelitian yang tinggi.Proses-prosesnya adalah seperti berikut :
Mencelup Benang – Benang putih akan dicelup dengan pewarna yang dikehendaki, setelah itu benang harus dikeringkan.
Melerai Benang – Proses di mana Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.
Menganeng Benang – Menganeng adalah proses membuat benang loseng yang direngang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang songket yg akan ditenun.
Menggulung Benang – Benang-benang yang telah direngang akan di gulung dengan sekeping papan loseng.
Menyapuk Benang – Setelah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera, kerja-kerja menyapuk dilalukan. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui celah gigi jentera.
Mengarak Benang – Karak dibuat daripada benang asing yang digelung, Benang loseng berangkap genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara selang seli sewaktu menenun.
Menyongket Benang – Proses mereka corak di aatas benang loseng dengan menggunakan alat yang dipanggil lido dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar dan kemudian diikat sebagai proses ikat butang.
Menenun Benang – Proses terakhir yang mana alat torak diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kira dan kanan di celah-celah benang loseng mengikut corak yang dikehendaki hinggalah menjadi sekeping kain songket. Kain yang siap ini dipotong mengikut saiz.
Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan. Ia tidak hanya dipakai oleh kerabat diraja sahaja tetapi telah digunakan secara meluas oleh semua lapisan masyarakat dalam pelbagai majlis begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Kain songket semakin popular digunakan busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, cenderahati, hiasan dinding, bag , sampin dan lain-lain lagi.
http://jamilsalleh.weebly.com/songket-using-jacquard.html
http://jamilsalleh.weebly.com/songket-using-jacquard.html
Usaha memartabatkan industri songket Malaysia ke persada fesyen tanah air dan antarabangsa dicetuskan oleh Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood. Perjuangan beliau yang tidak mengenal putus asa menganjurkan pelbagai program bagi mengembalikan kegemilangan songket Melayu seolah-olah memberi nyawa baru kepada industri seni fabrik yang menjadi identiti masyarakat Malaysia. Bersamalah kita memelihara warisan ini agar tidak hilang ditelan zaman.
Rujukan :
Comments are closed.