Tidak lengkap rasanya jika sesuatu baju melayu itu tidak digandingkan bersama samping. Pada hari raya pertama, kebiasaannya lelaki akan memakai baju melayu yang lengkap dengan songkok dan samping songket.

Keceriaan Aidilfitri dapat dilihat dengan meriah lagi dengan terpancar warna-warni daripada pakaian yang disarungkan, disamping itu, mampu mengundang suasana riuh rendah meraikan tamatnya sebulan berpuasa pada Ramadhan. Inilah masa yang sangat sesuai untuk anda mengenakan samping! Bukan selalu dapat di lihat di kalangan masyarakat kita kerana ianya dipakai pada masa tertentu sahaja.

 

 melvister.com

 

 infosukahatikl.blogspot.my

 

Samping selalunya akan dipakai lelaki bersama persalinan baju Melayu ketika majlis rasmi, perkahwinan dan perayaan seperti hari raya Aidilfitri serta Aidiladha. Ia diikat di pinggang pada sebelah luar baju dan seluar atau bahagian dalam baju, manakala bahagian kaki samping dilepas hingga ke paras lutut ataupun betis.. Terdapat satu makna dan tanda pada pemakai samping yang ramai tidak tahu iaitu, lelaki bujang digalakkan memakai samping labuh atas paras lutut. Manakala bagi lelaki yang sudah berkahwin  pula, memakai samping labuh bawah melepasi paras lutut.

Pelbagai jenis dan ikatan samping yang boleh disesuaikan mengikut kesesuaian serta cita rasa masing-masing, terutamanya bagi menyerlahkan gaya jejaka pada pagi hari raya.

Antara beberapa ikatan samping adalah seperti ikatan samping Agung, ikatan samping Johor lama, ikatan samping P Ramlee dan ikatan samping lazim di mana setiap ikatan ini hanya mengambil masa kurang daripada lima minit bagi mengikatnya. Selain itu, cara ikatan samping yang menjadi tradisi turun-temurun, antaranya adalah seperti ikatan pancung, ikatan kembung dan juga yang paling popular ialah lipatan lingkup yang masih diamalkan sehinggalah ke hari ini.

Ikatan pancung menggunakan kain lepas, yang kemudiannya akan dililit di pinggang dan sebelum sampai ke hujung kain, kain ini ‘dipancung’, iaitu bermaksud ia disemat sambil membiarkan hujung kain terkulai ke bawah. Pada kebiasaannya, ikatan pancung dipakai oleh penari lelaki ketika persembahan kerana samping ikatan jenis ini lapang dan luas di depan memudahkan melangkah lebar.

Selanjutnya, ikatan kembung pula biasanya dipakai oleh pengantin lelaki dalam acara pernikahan adat Melayu. Perkataan ‘kembung’ adalah berasal daripada kesan mengembung ketika memakai ikatan ini. Ikatan kembung dipakai pengantin dalam perkahwinan kerana menampakkan kekemasan dan ianya  senang dikilaskan.

Seterusnya, bagi ikatan yang biasa pakai, iaitu ikatan lingkup menjadi kegemaran semua lelaki. Caranya, kain sarung digulung ke atas dan dilingkup ke bahagian depan. Ikatan jenis ini sangat mudah nahh sebab itu kebanyakan lelaki lebih gemar menggayakannya. Ikatan jenis lingkup juga adalah sesuai dipakai pada hari perayaan terutamanya Aidilfitri kerana senang dipakai sendiri dan tidak memerlukan bantuan si isteri yang sibuk di dapur atau sedang berdandan. hehe

 

engkumuzahadin.blogspot.com

 

utusan.com.my

 

Asalnya, samping lelaki adalah panjang sehingga ke buku lali, namun begitu selepas peredaran masa, samping kini diikat dan dilipat sehinggalah ke paras lutut supaya ia kelihatan lebih ringkas dan dapat  memberikan keselesaaan apabila dipakai seseorang lelaki itu.

Dapat dilihat, tradisi dan pemakaian samping masih kekal sehinggalah ke hari ini. Walaupun terdapat pelbagai dan banyak revolusi yang berlaku pada baju Melayu kini, namun ia masih tidak mengubah cara pemakaian dan rekaan sesuatu samping itu, terutamanya pada hari raya Aidilfitri. Pada Aidilfitri yang bakal kunjung tiba ini, apakata kita turut mengekalkan tradisi baju Melayu ini dengan menggayakan baju Melayu bersama songket. Barulah tampak tampan di pagi Aidilfitri!