sejarah

Salam pembaca-pembaca blog yang dihormati sekalian!

Kita mungkin kadangkala tertanya-tanya dari manakah asal-usul Baju Melayu.  Ada yang membuat cerita yang bukan-bukan.  Bacalah petikan di bawah ini, bukan dari saya akan tetapi petikan dari akhbar Berita Harian.

Petikan:

Setiap sesuatu bermula dengan langkah pertama. Berbaju Melayu misalnya dimulakan sekitar 700 tahun dulu dan dipercayai diperkenalkan pada zaman empayar Melaka oleh Sultan Muhammad Syah serta kaya dengan falsafah dalam berbusana.

Sultan Muhammad Syah ketika itu mahukan orang Melayu berbaju khusus bagi menampilkan mereka sebagai bangsa yang mempunyai jati diri sekalipun alam berpakaian, bukannya berbaju ‘atas angin’ seperti pakaian pedagang Arab atau India zaman itu.

Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin ketika dihubungi menjelaskan, baju Melayu pada zaman Melaka awalnya dipakai singkat dan sendat seperti baju pesilat.

Bagaimanapun, rekaan baju Melayu ini mengalami evolusi dan diubahsuai atas persetujuan sultan. Dari berbaju sendat dan seluar singkat, bajunya menjadi sedikit longgar dan labuh. Seperti kehendak Sultan Muhammad, pemakaian baju Melayu oleh orang lelaki bukan sekadar menutup aurat, tetapi lambang identiti bangsa.

*Dipetik dan diedit dari artikel Berita Harian bertarikh 9 Ogos 2012.

Sekarang walaupun tidak detail tapi kita dah mula sedar akan asal-usul Baju Melayu itu.  Zaman dahulu, rekaan baju melayu amat di jaga.  Bagaimana dengan zaman sekarang?