Ke mana hilang adat Melayu ??!!
BAJU MELAYU MENCERMINKAN ADAB KITA SENDIRI!
Assalamualaikum pembaca-pembaca yang dihormati sekalian, pernahkah kita fikirkan mengapa kebelakangan ini tren-tren hipster baju melayu telah menerima kecaman hebat dari berbagai pihak khususnya bloggers. Baju Raya juga tidak harus di banjiri rekabentuk yang terpesong ini. Fesyen yang dikira telah merobek konsep sebenar baju melayu ini kononnya mengikut arus zaman akan tetapi ada fakta mengenai rekabentuk traditional baju melayu yang ramai mungkin tidak sedar! Berikut adalah petikan dari akhbar Berita Harian. Semoga kita terus menimba ilmu adat resam Melayu kita yang berkait rapat dengan agama Islam dan terus mempertahankannya!
Petikan:
FALSAFAH BAJU MELAYU (TRADISIONAL)
Setiap sesuatu bermula dengan langkah pertama. Berbaju Melayu misalnya dimulakan sekitar 700 tahun dulu dan dipercayai diperkenalkan pada zaman empayar Melaka oleh Sultan Muhammad Syah serta kaya dengan falsafah dalam berbusana.
Sultan Muhammad Syah ketika itu mahukan orang Melayu berbaju khusus bagi menampilkan mereka sebagai bangsa yang mempunyai jati diri sekalipun alam berpakaian, bukannya berbaju ‘atas angin’ seperti pakaian pedagang Arab atau India zaman itu.
Timbalan Dekan Pengajian Siswazah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Paduka Dr. Mohd Rosli Saludin ketika dihubungi menjelaskan,
baju Melayu pada zaman Melaka awalnya dipakai singkat dan sendat seperti baju pesilat.
Bagaimanapun, rekaan baju Melayu ini mengalami evolusi dan diubahsuai atas persetujuan sultan. Dari berbaju sendat dan seluar singkat, bajunya menjadi sedikit longgar dan labuh. Seperti kehendak Sultan Muhammad, pemakaian baju Melayu oleh orang lelaki bukan sekadar menutup aurat, tetapi lambang identiti bangsa.
Cara penggayaan baju Melayu juga sebenarnya mengandungi falsafah tersendiri. Orang Melayu sangat berhemah apabila bertutur kata dan perlakuan mereka, malahan pemakaian membawa makna tersendiri. Secara tidak langsung orang Melayu mendidik generasi muda melalui pemakaian.
Baju Melayu ada dua rekaan iaitu cekak musang dan baju teluk belanga. Baju Melayu cekak musang butangnya lima, teluk belanga pula butangnya satu dan membawa falsafahnya sendiri.
Berbutang lima merujuk kepada lima rukun Islam dengan dua butang diatas bermaksud, mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu.
Selebihnya diwakili tiga butang di bawah. Jika kita buang dua butang dan hanya pakai tiga, falsafah di sebalik menegakkan rukun Islam itu tidak tercapai. Malah, ada teromba mengenai pentingnya pamakaian lima butang baju ini;
“cekak musang berbutang lima
lima rukun di dalamnya
lima petua dibawanya
lima tiang ditegakkan.”
Pemakaian satu butang untuk teluk belanga bermaksud Tuhan Yang Esa seperti dinyatakan dalam teromba yang berbunyi;
“teluk belanga berbutang tunggal
tunggal satu tuhan yang disembah
tunggal tidak dapat dianjak alih
tunggal tidak dapat dibelah.”
Tiga kocek pula merujuk kepada Iman, Ihsan, Islam.
Sungguh pun demikian, ada juga pandangan lain mengatakan, butang baju Melayu sebenarnya ada tujuh dan jenis ini dipakai oleh golongan aristokrat, manakala pemakaian kurang daripada tujuh hanya dikhususkan kepada orang kebanyakan. Butang tujuh ini merujuk kepada 7 lapis langit dan bumi, dan tujuh tingkat syurga dan neraka, bertujuan mengingatkan bangsawan akan Allah Yang Maha Mulia.
Jika memakai baju Melayu ia mesti dilengkapi samping dan tanpanya pemakaian menjadi janggal kerana ia juga membawa maksud tersirat sama ada si pemakai sudah berkahwin atau sebaliknya.
Apabila mengenakan samping, lelaki yang sudah berkahwin mesti di bawah lutut, namun kalau orang yang bujang, sampingnya mesti di atas lutut. Kalau orang sudah berkahwin memakai samping singkat, itu tandanya dia hendak menambah isteri.
Ada teromba klasik berhubung pemakaian samping berbunyi;
“Adat memakai samping
kok sudah beranak bini
atau orang yang patut-patut
kain samping bawah lutut
sama setentang paras betis
ikat bergulung lurus lurus
jika ikat atas lutut
itu tandanya nak cari lagi
harus tahu keadaan ini.”
“Kok anak muda muda
kain labuh di atas lutut
bagai dubalang masuk gelanggang
bagai ayam mencari lawan.”
Cara pakai sampin pun ada makna atau menunjukkan status masyarakat. Contohnya kerabat mengikat kepala sampin di sebelah kanan. Bangsawan di sebelah kiri. Rakyat biasa di tengah tengah.
Ilmu dan falsafah di sebalik pemakaian baju Melayu perlu dihebahkan supaya lebih ramai yang tahu dan mempraktikkan apalagi dengan kepantasan dan kecanggihan teknologi komunikasi hari ini.
Orang muda tidak buat sebab dia tidak tahu. Kalau tahu tentu dia buat. Sebab ini adalah adat kita orang Melayu. Kalau kita tidak sebarkan ilmu ini sampai bila-bila pun ia tidak dapat
dikongsi dengan masyarakat.
Seperkara lagi orang lelaki yang lengkap bersamping mesti tahu jaga adat dan adab bersamping seperti dipantunkan;
bila berkain tidak cermat
lambat laun tentulah kalah
bila bersamping tidak beradat
lambat laun malu terdedah.
Jadi apa yang kita nak malu dengan pakaian baju Melayu ini. Semua yang nenek moyang kita turunkan dan ajar kepada kita hingga hari ini bukanlah saja-saja direka tanpa sebab dan falsafahnya tersendiri. Cuma kita saja yang malas untuk mengkajinya. Janganlah sampai kita terlalu mengagungkan budaya orang sehingga budaya kita Melayu semakin dilupakan.
*Dipetik dan diedit dari artikel Berita Harian bertarikh 9 Ogos 2012.
Harap kita kongsikanlah maklumat tentang asal-usul Baju Melayu ini dengan rakan-rakan dan sanak saudara yang lain. Semoga bangsa Melayu akan terus maju sambil mempertahankan tradisi dan adat resam yang amat dikasihi
Comments are closed.