ASSALAMUALAIKUM WBT kesayangan semua! Macam mana dengan persediaan raya anda? Mesti semua sudah mulai sibuk menempah baju dan sudah mula mencari resepi kuih raya serta kelengkapan untuk meraikan Syawal yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi kan?
Bila berbicara tentang Hari Raya atau Aidilfitri admin pasti anda tentu sudah sebati dengan perkataan “RUMAH TERBUKA”, betul tak? Amalan rumah terbuka adalah satu amalan yang sememangnya sudah sinonim dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan acap kali di sambut di negara kita. Ini termasuklah perayaan dan sambutan deepavali, tahun baru cina, hari natal dan yang paling istimewa sekali ialah sambutan Aidilfitri yang acap kali di sambut sepanjang bulan Syawal. Pada perayaan seperti ini, seluruh lapisan masyarakat dan individu dari pelbagai generasi akan dijemput untuk turut hadir memeriahkan sambutan rumah terbuka.
Selain itu juga, amalan rumah terbuka dapat membantu rakyat Malaysia untuk memahami budaya kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan agama. Amalan ini membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Bak kata pepatah tak kenal maka tidak lah cinta, betul tak? Sebagai contoh, orang Cina, India, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Justeru, hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya kaum lain, malah budaya sihat ini mampu diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita dimana secara tidak langsung semangat toleransi akan dapat terbentuk dalam kalangan generasi sekarang. Nah! Dengan amalan seperti ini sudah tentunya budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.
Apa yang menariknya pada rumah terbuka ini, pelbagai juadah makanan, minuman termasuklah kuih muih, pemanis mulut, makanan ringan juga yang berat serta juadah istimewa sambutan Aidilfiti yang enak termasuk lemang, ketupat, rendang, kuah kacang dan banyak lagi. Selain itu kuih tradisional seperti kuih bahulu, bangkit, atau maruku akan kita temui di rumah terbuka. Anda pasti akan mula rambang mata apabila melihat juadah dan hidangan yang disediakan.
Dapat dilihat bahawa, penganjuran rumah terbuka juga adalah salah satu cara yang dapat mendorong dan dapat menjadi daya tarikan kepada pelancong asing yang melancong di negara kita. Sambil menyelam minum air ye dak? Mereka bukan sahaja dapat melancong dan menikmati keindahan negara kita yang tersayang tetapi mereka juga dapat mengalami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini sewaktu menyambut perayaan di rumah terbuka. Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa menjadi buah mulut mereka sekembalinya mereka ke negara masing-masing.
Apa yang terbaiknya amalan rumah terbuka ini ialah ia akan dapat memekarkan lagi hubungan silaturahim dalam masyarakat. Masyarakat kita yang sibuk dengan pekerjaan dan mencari nafkah menyebabkan semakin kurangnya hubungan dalam institusi kejiranan. Tetapi ini dapat dibendung dan dapat disuburkan kembali hubungan kesaudaraan melalui amalan rumah terbuka. Rumah terbuka memberi erti yang besar kepada masyarakat di negara ini untuk memahami erti perpaduan dan keharmonian sesama kaum. Itulah keindahan sambutan rumah terbuka di mana ia memberi kebebasan kepada kita untuk berkunjung ke rumah seseorang itu tanpa sebarang halangan dan kekangan yang harus dibimbangi. Di samping itu,hubungan antara pemimpin dan rakyat juga menjadi lebih erat apabila menganjurkan majlis rumah terbuka seperti yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak setiap tahun. Selain dari rumah terbuka yang di anjurkan seseorang individu terdapat juga sambutan terbuka yang di sambut dengan cara “potluck”. Iaitu sesebuah lokasi akan dipilih sebagai tuan rumah, contohnya seperti dewan, office tempat kerja atau surau taman untuk dijadikan lokasi rumah terbuka dan jamuan dan kemudiannya, tetamu yang dijemput akan membawa makanan sendiri dan berkongsi meraikannya.
Pada kebiasaanya pada majlis rumah terbuka ini semua bangsa berbilang kaum akan mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan tema majlis. Pada majlis sambutan Aidilfitri mereka akan mengenakan pakaian seperti baju kurung, baju kurung moden pelbagai fesyen yang cantik dan menarik bagi perempuan manakala bagi lelaki pakaian seperti baju melayu, jubah dan kurta akan digayakan untuk merasai dan menghayati sambutan majlis tersebut. Sudah tentunya gelak tawa kegembiraan dari masyarakat pelbagai bangsa, kaum dan generasi akan dihujani sepanjang majlis ini, sangat meriah dan indah! Bagi anda yang ingin mengggayakan pakaian yang bersesuaian dengan Hari Raya anda boleh menempah baju yang anda inginkan dengan tukang jahit. Tidak tahu nak cari tukang jahit? Anda boleh cuba mencari di portal MyBaju yang boleh membantu mendapatkan tukang jahit dari pelbagai lokasi untuk anda.
Saat gembira seperti di bulan Syawal haruslah diingati dan janganlah kita terlupa untuk bersyukur kepada segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita semua. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat beruntung kerana dapat merayakan Aidilfitri dalam suasana gembira, aman damai, dan harmoni yang berpanjangan, lain pula bagi sesetengah umat Islam lain yang terpaksa merayakan dalam keadaan kurang tenteram di negeri sendiri. Marilah kita doakan semoga semua muslimin dan muslimah seluruh dunia ini meraikan Aidilfitri dengan aman dan berbahagia.
Jadikan Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan silaturahim dan wujudkanlah sikap saling memaafi di bulan Syawal kelak! Okay, Ramadhan semakin hampir, dah habis ganti puasa ke belum tu? Hehe, tak puasa, tak Raya tau! :p itu sahaja untuk kali ini, semoga berjumpa di ruangan seterusnya, insya-Allah..
Comments are closed.