Bismillah Pembuka bicara,

Hai pembaca kesayangan..hari ini kita berkongsi ilmu tentang batik nak? Sejarah batik di Malaysia adalah sangat luas dan besar apatah lagi seperti yang sedia maklum ianya telah dikomersialkan sehingga ke persada dunia dan dipertontonkan seantaro benua.

 

pinterest

 

pinterest

 

Batik, merupakan legasi sepanjang zaman. Batik dapat dirujuk sebagai sebuah proses menghasilkan kain dengan menggunakan teknik terapan lilin bagi menghasilkan reka corak yang kemudian dicelup dengan pelbagai warna yang menarik. Reka corak yang pelbagai variasi serta penggunaan bahan-bahan baru telah menyemarakkan lagi pengeluaran batik terutamanya di Malaysia. Batik yang dihasilkan di negara ini telah berjaya menembusi dunia fesyen antarabangsa dan mendapat permintaan yang meluas. Pada kebiasaannya reka corak dan motif-motif batik diinspirasikan dari alam semula jadi seperti flora dan fauna yang kemudiannya digabung dengan corak-corak geometri atau abstrak.

 

Reka corak batik ini diaplikasikan ke atas batik menggunakan beberapa cara dan teknik seperti teknik canting, batik blok dan batik sutera saring. Di Malaysia kini batik telah diangkat sebagai salah satu daripada seni warisan bangsa yang menjadi kebanggaan negara. Perusahaan batik dipercayai bermula pada awal abad ke 12 iaitu di Kepulauan Jawa dan kemudiannya telah berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu, khususnya di negeri Kelantan dan Terengganu. Semenjak itu seni kemahiran batik terus berkembang ke negeri-negeri lain di Malaysia. Batik di negara ini dihasilkan dengan teknik dan reka corak yang beridentitikan Malaysia. Kini Malaysia menjadi salah sebuah negara pengeluar utama batik di dunia yang mengiktiraf kehalusan dan kemahiran kerja tangan pengeluar batik tempatan.

 

Berikut merupakan Jenis-Jenis Batik yang dapat dikategorikan :

  • Batik Blok

Batik Blok merupakan antara teknik pembuatan batik yang terawal di negara. Blok yang diperbuat daripada sebongkah kayu atau logam diukir dengan motif-motif bersesuaian untuk mengecap kain yang dikenali sebagai batik blok atau cop. Selain daripada kain kapas, penggunaan kain sutera dan organza dalam pengeluaran batik blok telah menghasilkan tekstil batik yang sesuai untuk rekaan fesyen, perhiasan serta kelengkapan rumah yang eksklusif.

 

pinterest

 

modelbajubatik.info

 

  • Batik Canting

Batik Canting atau juga dikenali  sebagai batik lukis adalah batik yang diproses  bermula dangan lilin cair dilakar menggunakan canting dan kemudian ianya diwarnakan mengikut kesesuaian reka corak. Selain dari kain kapas, kain rayon, voile, organza dan sutera turut digunakan dalam mendapatkan hasil batik. Reka corak yang menarik dengan pilihan warna yang ceria menampilkan batik bukan sahaja sesuai untuk fesyen pakaian malah ia boleh juga dijadikan sebagai kelengkapan dan hiasan rumah serta hadiah dan cenderamata yang eksklusif.

 

jadibatek.com

 

pinterest

 

  • Batik Skrin

Batik Skrin atau dikenali juga sebagai batik stensil dan batik sutera saring merujuk kepada batik teknik lakaran corak dan terapan warna. Ia dilakukan di atas skrin yang diperbuat daripada poliester diregang di atas pemidang. Motif-motif dilukis atas skrin yang telah ditetapkan ukurannya. Kebiasaannya beberapa keping pemidang dengan reka corak yang berbeza disediakan. Ini adalah kerana satu pemidang hanya untuk satu warna sahaja. Skrin ini kemudiannya dilekapkan di atas sehelai kain putih bagi melakukan proses pewarnaan. Proses pewarnaan ini dilakukan beberapa kali bagi melengkapkan corak dan warna sehelai kain batik.

 

pinterest

 

Majoriti pengguna batik adalah terdiri daripada mereka yang sukakan gaya klasik tetapi masih kekal kelihatan mewah. Kebanyakan penggunanya ialah di kalangan golongan elit seperti kerabat-kerabat DiRaja, Menteri dan Dato’. Mereka menggayakan pakaian daripada batik ini ke majlis formal dan upacara rasmi. Batik juga menjadi pakaian rasmi bagi majoriti pekerja kerajaan dan syarikat tertentu. Selain itu, penduduk Malaysia di kalangan rakyat yang tinggal di perkampungan juga ramai menggunakan batik sebagai pakaian harian kerana keselesaan pakaian ini. Justeru ianya adalah sebuah pakaian yang melambangkan keunikan tradisi melayu. Tidak hairanlah sekiranya terdapat batik yang dijual dengan harga yang tinggi. Malahan batik sebagai perhiasan di rumah juga nilainya adalah tinggi setaraf dengan sifat antarabangsa dan nilai yang terdapat pada batik ini.

 

Sekian sahaja untuk ruangan kali ini, sehingga berjumpa di ruangan seterusnya ya..

Assalamualaikum.

 

Sumber Rujukan :

Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia